ENTITI: BENARKAH BUNIAN SUKAKAN BAYI MANUSIA?

 


Apakah entiti? Entiti itu jika menurut kefahaman saya sendiri ialah sesuatu yg mempunyai kewujudannya yang tersendiri. Dalam erti kata lain kewujudannya tidak dapat dilihat dengan hanya menggunakan mata kasar manusia. Insan-insan yang dapat melihat entiti seperti bunian ini sudah pasti istimewa. Bukan calang-calang manusia dapat melihat kewujudan makhluk yang berada di alam lain melalui 'hijab' yang terbuka.

Sebagai orang Islam, kita perlu percaya dengan kewujudan 'bunian' kerana mereka juga makhluk ciptaan Allah SWT yang hanya berbeza alam dengan manusia. Sebenarnya, 'bunian' adalah bangsa jin yang juga cara kehidupan mereka sama sahaja seperti manusia bahkan bangsa jin Islam yang kita gelar sebagai 'bunian' lebih taat dengan perintah Allah SWT. Sesungguhnya saya sangat tertarik untuk mendengar segala cerita tentang entiti seperti 'bunian' ini. Ada ketikanya saya akan cuba mencari maklumat-maklumat lain tentang kewujudan mereka untuk mengukuhkan lagi pengetahuan saya. Ada juga sahabat handai yang mengatakan bahawa saya terlalu obses dan terlalu banyak membaca novel bergenre seram dan fantasi sehingga keterlaluan memikirkannya.

Saya bukanlah seseorang yang mudah terpengaruh hanya pada cerita-cerita yang singgah di halwa telinga semata-mata. Tetapi mengapakah saya berpendapat bahawa 'bunian' lebih tertarik kepada bayi atau kanak-kanak dalam kalangan manusia? Dalam konteks ini kita tahu bahawa bayi dan kanak-kanak adalah insan yang dapat diibaratkan seperti kain putih bersih yang seharusnya dicorakkan dengan kebaikan dan tiada dosa.


Kejadian seperti ini sebenarnya pernah terjadi dalam kalangan keluarga saya sendiri. Sukar untuk digambarkan dan diceritakan. Mungkin akan ada pihak yang hanya mentertawakannya dan tidak mempercayai. Bagi saya terpulanglah kerana semua perkara hanya berlaku dengan izin-Nya. Kejadian ini berlaku pada sekitar tahun 1960 dan diceritakan sendiri oleh arwah nenek semasa usia saya baru sahaja menginjak 9 tahun. Menurut cerita nenek, ibu saudara saya baru berusia tiga bulan pada ketika itu. Usai sahaja solat Asar nenek bingkas bangun kerana mendengar bunyi ketawa ibu saudara yang mesra saya sapa sebagai Mak Njang. Alangkah terkejutnya nenek pada saat itu setelah melihat Mak Njang tidak berseorangan disitu tetapi ditemani oleh seorang wanita yang lengkap berpakaian serba putih. Penampilannya persis seorang puteri kayangan. Wajahnya sungguh cantik dan kulitnya juga putih bersih tanpa sebarang cela. Mak Njang hampir saja dibawa pergi jika tidak disergah oleh nenek. Entiti yang digelar sebagai bunian itu lalu hilang begitu sahaja. Cerita-cerita begini akhirnya memberi percikan ilham kepada saya untuk menggabungkan unsur perubatan dan mistik yang memang benar-benar berlaku dalam kehidupan kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KARYA RASMI: SIRNA DERITA SEORANG MALAIKA

PENYUNTIK SEMANGAT

KANTUNG RAHIM KOSONG TANPA PENGHUNI