ABDULRAZAK GURNAH: ANUGERAH HADIAH NOBEL

Abdulrazak Gurnah: Penerima Anugerah Hadiah Nobel 2021

Hadiah Nobel yang lebih dikenali sebagai Nobel Prize merupakan bentuk penganugerahan yang telah dizahirkan kepada individu yang telah banyak memberikan sumbangan terhadap bidang penyelidikan dan menghasilkan sesuatu yang dianggap sebagai ciptaan yang bernas. Hadiah Nobel kebiasaannya akan dianugerahkan pada setiap tahun berdasarkan kepada beberapa kategori. Tahun 2021 merupakan detik yang menyaksikan keunggulan Abdulrazak Gurnah yang telah dipilih sebagai penerima anugerah Hadiah Nobel bagi kategori sastera oleh Akademi Sweden. Abdulrazak Gurnah merupakan seorang penulis beragama Islam yang berasal daripada  Zanzibar yang juga merupakan wilayah separa autonomi di Tanzania, Afrika Timur. Profesor Emeritus dalam bidang Sastera Inggeris ini telah dilahirkan pada tanggal 20 Disember 1948. Ketika penerimaan anugerah Hadiah Nobel, Abdulrazak Gurnah telah diberikan penghormatan untuk menzahirkan ucapan dan suntikan motivasinya melalui sebuah paparan video.

      Abdulrazak Gurnah menjelaskan bahawa penulisan akan sentiasa menjadi sesuatu perkara yang sangat menyeronokkan kepada beliau dalam meniti perjalanan sesebuah kehidupan. Misalnya, beliau mengambarkan keterujaan beliau setiap kali menanti ketibaan kelas yang sememangnya diperuntukkan untuk menulis cerita atau perkara-perkara lain yang difikirkan oleh gurunya bagi menarik minat mereka. Abdulrazak Gurnah turut menyatakan bahawa beliau menulis kerana telah diarahkan untuk menulis dan perkara tersebut sekaligus menerbitkan rasa keseronokan berdasarkan sesuatu penulisan yang telah dihasilkan oleh beliau. Bidang penulisan yang sebati dalam dirinya sentiasa mengingatkan beliau tentang zaman kecilnya itu walaupun ketika beliau sudahpun menginjak dewasa dan bergelar seorang pendidik.

        Sewaktu mengharungi zaman mudanya, Abdulrazak Gurnah juga tidak mempertikaikan rasa cintanya yang menebal terhadap bidang penulisan sehingga sanggup berjaga sehingga larut malam untuk melunaskan pembacaan sesebuah karya. Beliau berpendapat bahawa usia muda merupakan usia yang sesuai untuk mempelajari sesuatu perkara dengan lebih baik dan praktikal terutamanya untuk menghasilkan penulisan yang lebih berkualiti. Beliau turut menegaskan bahawa tiada manusia yang dilahirkan sempurna sehingga tidak mahu mempelajari sesuatu perkara berdasarkan kesilapan yang pernah dilakukan oleh mereka. Penulisan dan pembacaan yang seiring dengan pengalaman juga merupakan keasyikan semasa usia muda yang tidak dapat dijelaskan keseronokannya tetapi akhirnya beransur-ansur menjadi sebuah keseronokan yang berbeza daripada kebiasaannya.

         Ketika menetap di England, Abdulrazak Gurnah mula memikirkan tentang beberapa perkara yang tidak pernah terlintas di benak fikirannya. Beliau telah cuba menghasilkan penulisan yang berbeza seiring dengan rasa kerinduan dan keperitan yang disaksikannya berdasarkan kepada konflik yang terjadi disekelilingnya. Beliau turut beranggapan bahawa penulisan itu bukanlah sekadar berasaskan kepada perjuangan dan polemik semata-mata. Abdulrazak Gurnah bahkan mempercayai bahawa sesebuah penulisan itu mampu ditelusuri melalui sebuah kejujuran dan ketegasan dalam berkarya untuk membuka minda dan mata masyarakat tentang realiti sesebuah kehidupan. Secara keseluruhannya, Abdulrazak Gurnah menegaskan bahawa menulis seolah-olah telah menjadi penyuntik semangat yang memberikan impak positif dalam kehidupan beliau. Beliau bahkan masih merasai keterujaan dalam bidang penulisan yang sememangnya tidak pernah luntur dalam dirinya sehingga kini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KARYA RASMI: SIRNA DERITA SEORANG MALAIKA

PENYUNTIK SEMANGAT

KANTUNG RAHIM KOSONG TANPA PENGHUNI